ⓘ Ojigi boleh didefinisikan sebagai tindakan seseorang menunduk atau menurunkan sedikit kepala sebagai tanda memberi salam, menunjukkan tatatertib yang sopan, mem ..

                                     

ⓘ Ojigi

Ojigi boleh didefinisikan sebagai tindakan seseorang menunduk atau menurunkan sedikit kepala sebagai tanda memberi salam, menunjukkan tatatertib yang sopan, memohon maaf atau menzahirkan rasa syukur dalam situasi sosial mahupun keagamaan atau tempat suci sebagai memberi salam kepada tuhan) dalam masyarakat negara Jepun.

                                     

1. Ojigi dalam kehidupan seharian di Jepun

Kebiasaannya, orang Jepun mengamalkan ojigi dalam situasi seperti memberi salam, memohon maaf, meminta tolong, mengucapkan terima kasih dan sebagainya.

Orang Jepun seringkali melakukan ojigi ketika memberi salam terhadap guru, pelanggan, bos atau orang yang tidak begitu rapat. Mereka jarang sekali melakukannya kepada keluarga dan rakan-rakan.

Orang Jepun juga memberi ojigi semasa memohon maaf. Ojigi pada situasi kali ini amat berbeza daripada ojigi biasa kerana mereka menunduk dengan lebih dalam pada sudut 45 darjah. Durasi perlakuannya juga agak lama. Apabila seseorang memohon maaf kepada orang yang rapat, mereka akan menunduk dengan merapatkan kedua-dua tapak tangan di hadapan mukanya.

Hal ini bertepatan juga dengan situasi ketika memohon pertolongan dan mengucapkan terima kasih. Ojigi juga dilakukan sebagai tanda hormat yang mendalam. Manakala bagi keluarga, rakan-rakan atau orang yang rapat, orang Jepun meletakkan kedua-dua tapak tangannya di hadapan mukanya sebagai tanda pertolongan atau kesyukuran.

Pendek kata, ojigi ini sering digunakan dalam beberapa situasi seperti mengucapkan terima kasih, memohon pertolongan, memberi salam dan memohon maaf daripada seseorang.

                                     

2. Jenis Ojigi

Secara amnya, terdapat dua jenis ojigi mengikut aspek postur badan. Pertama, Zarei 座礼, iaitu memberi Ojigi secara duduk dan Ryurei 立礼 atau lebih dikenali sebagai Ritsurei 立礼, iaitu memberi Ojigi secara berdiri. Zarei mempunyai tiga jenis mengikut aspek membengkokkan pinggang iaitu Saikeirei 最敬礼, Futsurei 普通礼 dan Senrei 浅礼.

                                     

2.1. Jenis Ojigi Zarei 座礼

Zarei ialah sejenis ojigi menunduk yang dilakukan dengan cara bersimpuh di atas lantai. Cara sebegini boleh diklasifikasikan kepada tiga gaya utama iaitu shin 真 iaitu gaya formal, gyō 行 iaitu gaya pertengahan, dan sō 草 iaitu gaya yang paling biasa digunakan. Walau bagaimanapun, Zarei sudah jarang sekali dilakukan dalam kehidupan orang Jepun disebabkan oleh pengaruh budaya Barat.

                                     

2.2. Jenis Ojigi Saikeirei 最敬礼

Ojigi berbentuk Saikeirei ini sangat jarang dilakukan dalam kehidupan orang Jepun. Kebiasaanya, ojigi berbentuk ini dilakukan kepada orang terhormat dan orang yang mempunyai pangkat atau darjat yang tinggi seperti VIP, ibu bapa mertua, bos dan seumpamanya. Ini dilakukan adalah untuk menunjukkan hormat dari hati ataupun semasa memohon maaf dengan bersungguh-sungguh.

Etika yang paling tepat ketika melakukan Saikeirei ini ialah seseorang itu hendaklah mengambil posisi terlebih dahulu dimana dia perlu duduk di atas kaki sendiri. Setelah itu, seseorang itu hendaklah menundukkan dahinya lebih kurang 5 cm dari lantai selama 3 saat. Akhir sekali, seseorang itu juga perlulah membentukkan tangannya seperti bentuk segi tiga lalu meletakkannya tepat di bawah muka.

                                     

2.3. Jenis Ojigi Futsurei 普通礼

Ojigi berbentuk Futsurei ini biasanya dapat dilihat semasa majlis formal, majlis teh atau sukan tradisional Jepun seperti dalam pertandingan kendo atau judo. Futsurei ini juga sama seperti Saikeirei yang mana ianya dilakukan untuk memberi hormat kepada orang yang berstatus tinggi. Langkah yang paling tepat untuk melakukan Futsurei ialah seseorang itu hendaklah mengambil posisinya terlebih dahulu iaitu duduk bersimpuh di atas kakinya sendiri. Kemudian, seseorang itu perlulah membengkokkan bahagian atas badan sehingga jarak antara muka dan lantai berjumlah 30 cm selama lebih kurang 2.5 saat. Akhir sekali, seseorang itu juga perlulah membentukkan tangannya seperti bentuk segi tiga lalu meletakkannya tepat di bawah muka seperti Saikeirei.

                                     

2.4. Jenis Ojigi Senrei 浅礼

Senrei boleh ditakrifkan sebagai tindakan memberi tunduk hormat sambil melutut. Ojigi jenis ini biasanya dilakukan dalam majlis dan keadaan yang formal atau separa formal.

Etika yang betul ketika melakukannya adalah dengan menundukkan kepala hampir 30 darjah dan mestilah tunggu lebih kurang 1-2 saat sebelum mengangkat semula kepala. Selepas itu, seseorang itu hendaklah menyentuh lantai dengan tepi jari tangannya. Pada umumnya, lelaki meletakkan kedua-dua tangan dihadapan lutut, manakala bagi wanita pula mereka akan meletakkan tangan di tengah-tengah.



                                     

2.5. Jenis Ojigi Ryurei 立礼

Ryurei atau Ritsurei ialah sejenis ojigi yang dilakukan secara berdiri. Ojigi jenis ini boleh dikategorikan kepada tiga jenis mengikut sudut tundukan kepala. Orang Jepun acap kali melakukan ojigi jenis ini kepada golongan yang dihormati seperti pelanggan, bos, cikgu dan orang yang tidak begitu kenal. Dalam kehidupan seharian, kakitangan menyambut tetamu dengan melaksanakan ojigi jenis ini sambil mengucapkan "selamat datang" atau "terima kasih".

                                     

3. Lihat juga

Budaya Tunduk Hormat Jepun Ojigi - LIVE JAPAN Jepun Travel dan Pelancongan dan panduan pengalaman bahasa Melayu

Tunduk Di Jepun Ada Maksud Berlainan. Cara Tunduk Yang Last Tu Paling Dasyat! | Kool FM bahasa Melayu

How and When to Bow in Japan: Guide to Bowing Etiquette tripsavvy.com bahasa Inggeris

How and when to bow: A simple guide to bowing etiquette in Japan | Hello! from Japan hidanotaka.com bahasa Inggeris

基本のビジネスマナー。正しい「お辞儀の仕方」とは|「マイナビウーマン」 mynavi.jp bahasa Jepun